17 September 2011

ISTERI YANG SEJATI...


Aku petik dari abanglongonline.


Mari kita sama-sama baca dan hayati petikan dari satu artikel di Mingguan Wanita. bil: 1361

Seorang isteri, diwajibkan untuk menghormati suami, walau dalam apa juga situasinya. Bukan tidak boleh mempertahankan hak sendiri tetapi hormat tetap perlu ada. Bila hormat tetap ada, si isteri akan berusaha mengelakkan diri daripada meninggikan suara kepada suami, memaki hamun suami, mencaci itu dan ini atau pun memperlekehkan suami.


Walau isteri lebih kaya, lebih rupa, lebih tinggi pendidikannya, isteri tetap wajib hormat pada suami.

"Bagaimana jika niat isteri untuk mendidik suami?"
Tiada istilah mendidik suami di dalam hukum agama, malah sepatutnya suami yang berkewajipan mendidik isteri. Tindakan mengherdik, memarahi atau mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati suami dengan niat untuk mendidik adalah tidak sesuai. Jika suami melakukan kesilapan atau kesalahan, tegurlah dengan penuh kasih sayang dan selembut yang mampu. Tidak boleh disamakan cara menegur kesilapan suami dengan mengajar atau mendidik anak-anak atau kawan-kawan sekerja.




"Bagaimana jika cara lembut tidak mendatangkan hasil?"
Berpesan-pesanlah dengan penuh kesabaran dan berdoa agar suami terbuka hatinya dan berubah atau memperbetulkan kesilapannya.

Walau suami seorang yang tidak berdaya menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami atau sengaja mengabaikan tanggungjawabnya, isteri juga tetap wajib hormat pada suami.

Ini bukan penganiayaan kepada isteri tetapi keistimewaan.

"Istimewa?"
"Apa istimewanya kalau suami tidak melakukan tanggungjawab perlu dihormati juga?"

Istimewanya kerana pahala yang akan diperoleh oleh isteri tadi, sukar untuk dinilai.

"Pahala? Apa guna pahala kalau hidup sengsara?"

Kalau sengsara, keluar dari perkahwinan tersebut.
Ramai isteri yang enggan keluar dari perkahwinan, berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan status isteri tetapi gagal menghormati suami. Suami diherdik, ditengking, dicaci dan dicerca. Ada yang mendiamkan diri, suami tegur tak peduli, nak layan suami jauh sekali. Ada yang berpura-pura, depan suami manis sekali tapi di belakang, suami diumpat itu ini. Kenapa memilih status isteri jika dalam masa yang sama terus menerus menambah dosa sendiri?



"Manusia normal mesti bertekak dan ada ketikanya tertinggi suara."
Ya memang ada kebenarannya ungkapan tersebut. Cuma, jika perkara tersebut berlaku, cepat-cepatlah mohon ampun dan maaf kepada suami. Jangan tunggu raya baru hendak meminta maaf.

"Kalau suami yang salah, nak minta maaf juga?"
Ya! Minta maaf sebab isteri tertinggi suara, bukan atas kesalahan yang bukan bermula daripada anda.

"Kalau tidak minta maaf?"
Kalau suami memaafkan anda tanpa anda meminta maaf, alhamdulillah. Tapi jika tidak, hanya Dia yang tahu kedudukan anda, cuma hukum mengatakan; redha Allah kepada isteri hanya setelah suami redha kepada isterinya.

"Bukankah kalau suami sengaja gagal melaksanakan tanggungjawab nafkah zahir, isteri tidak perlu melayan nafkah batinnya?"

Betul, tapi dengan mengambil kira kewajipan nafkah sama seperti kewajipan mas kahwin tetapi kegagalan suami itu bukan memberi kebenaran untuk isteri tidak hormat kepada suami. Perlu juga diingat bahawa jika nafkah batin tidak diberikan si isteri sedangkan suami amat memerlukannya ketika itu, mungkin sesuatu yang tidak elok akan berlaku. Jika suami seorang yang penyabar dan faham hukum agama mungkin dia akan berpuasa sunat bagi meredakan keinginannya. Bagaimana pula jika sebaliknya?

Paling penting, ada perbezaan jelas antara taat dan hormat. Isteri wajib taat kepada suami selagi segala arahan atau kehendak suami tidak menyalahi hukum syarak. Hormat pula, perlu sepanjang masa. Dalam kamus Dewan edisi 4, hormat bermaksud mempunyai pandangan yang tinggi terhadap seseorang dengan memberikan layanan yang penuh sopan, khidmat dan takzim.

Oleh itu, hormatilah suami sedaya upaya, walau apa juga emosi anda, walau apa juga situasinya. Jika tidak mampu (dengan syarat telah berusaha bersungguh-sungguh) jalan keluar tersedia...



Sewaktu Nabi Ismail tidak ada di rumah, datanglah ayah Nabi Ismail iaitu Nabi Ibrahim kerumah isterinya dan menyamar sebagai orang lain. Beliau bertanyakan kepada isteri Nabi Ismail tentang kehidupan nya bersama Nabi Ismail. Lalu isteri Nabi Ismail menceritakan bahawa kehidupan mereka tidak bahagia dan cukup-cukup makan saja dan Nabi Ibrahim pun menerima penjelasan isteri Nabi Ismail dan berpesan supaya disampaikan kepada Nabi Ismail agar menggantikan “pintu depan” rumah mereka.
Apabila Nabi Ismail pulang saja ke rumah lalu isterinya menceritakan ada orang datang bertanyakan hal rumahtangga mereka dan memesan supaya di gantikan “pintu depan” rumah mereka. Nabi Ismail menjawab yang datang tadi adalah ayahku dan dia suruh aku menceraikan kamu kerana kamu adalah seorang isteri yang tidak baik dan Nabi Ismail pun menceraikan isterinya.

Suatu ketika Nabi Ismail beristeri lagi dan perkara yang sama juga berulang dengan kedatangan ayah Nabi Ismail iaitu Nabi Ibrahim dengan menyamar lagi. Nabi Ibrahim bertanyakan keadaan rumahtangga kepada isteri baru Nabi Ismail dan isteri Nabi Ismail menjawab, Alhamdulillah rumahtangga mereka bahagia dan setiap hari makan yang sedap-sedap dan kehidupan mereka mencukupi pada hal Nabi Ibrahim tahu yang kehidupan anak menantunya sememangnya susah. Nabi Ibrahim pun berpesan untuk disampaikan kepada suaminya supaya menjaga dan memperbaiki pintu depan rumah mereka.

Apabila Nabi Ismail pulang saja ke rumah lalu isterinya menceritakan ada orang datang bertanyakan hal rumahtangga mereka dan memesan supaya di perbaiki dan memeliharakan “pintu depan” rumah mereka. Nabi Ismail menjawab yang datang tadi adalah ayahku dan dia suruh aku menjagamu dan menyayangimu kerana kamu dimata ayahku yg seorang nabi kamu tergolong isteri yg baik…

...sapa tak sayang bini oiiiiiii....