23 June 2010

Seandainya Melayu fasih Berbahasa Mandarin dan Tamil....


dan baca yang dibawah pula..artikel ini aku telah emelkan pada Berita Harian pada 24hb Jun 2010.

Saya sependapat dengan GRADUAN MENCARI NILAI TAMBAH, Sungai Petani, Kedah.yang telah disiarkan dalam akhbar ini pada
23hb Jun yang lalu mengenai ruginya kita orang Melayu tidak tahu menguasai Bahasa Mandarin dan Tamil apa lagi Bahasa
Inggeris. Jika dilihat melalui sejarah 40 tahun lampau saya adalah diantara murid-murid sekolah yang terasa teramat rugi kerana
Kementerian Pelajaran pada waktu itu tidak mahu mengambil sebarang inisiatif kearah penguasaan bahasa-bahasa selain dari
Bahasa Inggeris. Pada waktu tersebut Bahasa Inggeris telah diajar sedemikian rupa kepada murid-murid bermula dari darjah satu sehinggalah ke menengah atas tapi tidak ditekankan Bahasa Mandarin dan Tamil.

Negara kita mempunyai rakyat yang terdiri dari pelbagai kaum dimana kaum Cina, India dan yang lain-lainnya selain dari Melayu fasih berbahasa Melayu. Terasa amat malang sekali Kerajaan pada waktu itu tidak mengambil berat dan berusaha untuk orang-orang Melayu dapat menguasai Bahasa Mandarin mahu pun Tamil. Kalau ada pun bagi Orang-orang Melayu yang tinggal di Estet-estet kebanyakannya pandai berbahasa Tamil. Begitu juga orang-orang Melayu yang diatas inisiatif ibu bapa mereka menyekolahkan anak-anak mereka di Sekolah Jenis Kebangsaan China pada waktu itu berkebolehan bertutur dalam bahasa Mandarin.

Lihatlah kesannya pada orang-orang Melayu yang fasih berbahasa Mandarin dan Tamil yang telah dididik pada waktu lampau, mereka ini telah mendapat menafaatnya sehinggalah sekarang.Memang diketahui rakyat berketurunan Cina atau India akan merasa berbangga kalau orang-orang Melayu boleh bertutur dalam bahasa mereka apa lagi jika melibatkan komuniti perniagaan. Kita juga amat berbangga jika kedua-dua rakyat berbangsa Cina dan India bertutur dalam bahasa Melayu dengan kita. Tapi jika mereka bertutur dalam bahasa mereka ..orang Melayu mulalah terlopong!

Bukanlah saya anti Bahasa Melayu kerana saya sendiri Melayu tapi saya memandang kearah masa depan yang kian mencabar dan negara kita sekarang sedang kearah Gagasan 1 Malaysia. Setakat berbahasa Inggeris bagi orang-orang Melayu yang berpendidikan sederhana tidaklah bermasalah sangat tapi kenapa dipinggirkan pelajaran berbahasa Mandarin dan Tamil yang mana kebolehan orang Melayu berbahasa tersebut tidak begitu ketara langsung!

Disini saya sarankan seperti kata seorang menteri tidak lama dahulu agar kita orang-orang Melayu memang sepatutnya fasih berbahasa Mandarin dan Tamil. Alangkah baiknya kedua-dua bahasa tersebut diserap ajar kepada murid-murid Sekolah Kebangsaan hinggalah ke menengah atas dan dijadikan satu mata pelajaran wajib.

Kalau orang-orang Melayu dapat menguasai kedua-dua bahasa tersebut selain dari Bahasa Inggeris, alanglah hebatnya orang-orang Melayu yang memang terkenal dengan sikap peramah tapi dapat pula menguasai kedua-dua bahasa tersebut.
Banyak pelajaran dan pengetahuan dapat kita pelajari dari rakan-rakan kita tersebut. Inilah yang dikatakan kita tidak kehilangan zaman dan tamadun kita dari rakan-rakan kita yang lain. Barulah dapat hidup aman dan harmoni kerana masing-masing telah faham-memahami diantara satu bahasa ke bahasa yang lain.

Diharap Kementerian Pendidikan/Penerangan? khasnya dapat mengambil inisiatif agar dapat mengubah cara lama sejak zaman kemerdekaan lagi kearah perpaduan bahasa di kalangan bangsa khasnya orang-orang Melayu untuk menambah dan menguasai kedua-dua bahasa tersebut. Satu pradigma yang besar patut dilakukan oleh pimpinan mahu pun Kementerian yang berkenaan kearah itu.
Apa ruginya kalau kita orang-orang Melayu dapat menguasai bahasa kaum lain dari kita masih ditakuk lama? Orang ketawa..kita pun ketawa..pada hal orang sedang ketawakan kita. Orang sedang ketawakan sikap macam katak dibawah tempurung dan sikap kekitaan yang masih menebal dikalangan orang-orang Melayu.

Sudah hampir 53 tahun negara kita merdeka tapi kita orang-orang Melayu masih dengan sikap yang sama, kurang mahu berusaha,manja,pemalas (bukan semua. kalau ada yang terasa..baguslah! ayuh! tunggu apa lagi?) Kita masih dibuai dengan "HIDUP MELAYU!"..TIDAK MELAYU HILANG DI DUNIA", HAK-HAK BUMIPUTRA MELAYU",TANAH REZAB MELAYU", LAGU-LAGU MELAYU ASLI" dan berbagai-bagai lagi yang bersalut MELAYU...Tapi apa kemajuan yang kita dapat dari ungkapan-ungkapan tersebut? Malah Jumlah remaja-remaja Melayu adalah yang paling ramai sekali tumbang dijalan-jalan raya! Pada hal kepada merekalah tempat untuk kita bergantung dimasa depan.

Adakah pernah kita dengar "HIDUP CINA" HIDUP INDIA" dan sebagainya namun mereka adalah diantara orang-orang yang terkaya sekali di Malaysia!.. Agaknya pihak Kerajaan nak kena ujudkan satu kementerian yang dijenamakan sebagai Kementerian Peningkatan Melayu barulah boleh nampak kemajuan orang-orang Melayu kot?..sudah banyak dasar-dasar yang telah diujudkan oleh kerajaan dan yang terbarunya Model Ekonomi Baru (MEB) kalau kita orang-orang Melayu masih lagi ditakuk yang lama, memang amat malang sekali. Kasihan pada pemimpin yang bertungkus lumus melaksana dan memperkenalkan dasar-dasar namun bagaikan ketul ais yang lama-lama cair begitu saja.. Jadi fikir-fikirkanlah kita wahai umat Melayu..apa lagi yang kita mahu?

Sabricherus,
Baling.