23 February 2011

Prihatin Part II

Baru je Januari lepas ada pesta kaut duit syiling di highway kat Rembau Negeri 9 pas tu kemarin ada pulak pesta kaut BERAS la pulak...di Lebuhraya Utara -Selatan arah ke Selatan highway Behrang-Tanjung Malim.
Yang aku heran depa dok pulun angkut beras ni untuk apa? Tapi kalau tolong angkut bawak naik atas Storm atau kenderaan sendiri dan nak bagi anak bini makan...itu aku tak tau nak kata apa dah...atau pun depa lelong kat pasar-pasar malam, atau kedai-kedai runcit..aku kurang pastilah.. Apa-apa pun kalau boleh JANGAN lah dikutip apa lagi kalau utk kegunaan sendiri...Kemalangan berlaku dikawasan lebuhraya..biarlah kakitangan lebuhraya yang uruskan untuk pembersihan...Prihatin...memang prihatin sungguh masyarakat Malaysia kita ni...kadang-kadang tu suka sangat mengambil kesempatan diatas musibah pihak yang lain.
Nampak sangat masyarakat kita ni kebulor dan suka sangat mengambil kesempatan atas musibah orang lain dan 2 imej ini jelas menerangkan maksud yang tersurat mungkin juga yg tersirat...prihatinnn..prihatin.
 Aku pun dah rasa pelek dah dengan keadaan yang sebegini..LEPAS NI PESTA JADAH APA PULAK YANG AKAN TERJADI....PRIHATIN LAGI LAHHH NAMPAKNYA.....

Kejujuran semakin hilang


SIKAP orang ramai berebut-rebut memungut beras yang bertaburan akibat kemalangan jalan raya baru-baru ini mencetuskan persoalan mengenai tahap kejujuran rakyat negara ini.


APAKAH perkara yang menjelekkan berlaku pada bulan Februari lalu? Rasanya mungkin membabitkan insiden sebuah lori beras yang terlibat dalam satu kemalangan jalan raya.
Bukan kemalangan itu tetapi situasinya yang menonjolkan kejelekkan sikap rakyat negara ini yang kononnya kaya dengan sopan santun dan budi bahasa serta tebal nilai dan budaya timur.
Dalam insiden tersebut orang ramai yang lalu lalang dengan rakus mengaut beras yang bertaburan dan mengisinya dalam apa juga bekas yang ada termasuk topi keledar dan beg tangan.
Kerana tamak mahukan beras percuma yang bertaburan mereka langsung tidak mempedulikan pemandu dan kelindan lori tersebut yang cedera serta dalam kesakitan.
Lebih mengharukan orang ramai yang mengerumuni lokasi kemalangan itu seperti semut menghurung gula - langsung tidak endah kepada mangsa yang cedera.
Persoalannya patutkah situasi tersebut berlaku di sebuah negara Islam yang kononnya mempunyai masyarakat yang mengamalkan tata susila yang tinggi?
Adakah ini menunjukkan rakyat negara ini sudah tidak ada nilai kemanusiaan dan tidak lagi prihatin terhadap mereka yang memerlukan?
Sejauh manakah tahap integriti masyarakat di negara ini terutama di bandar? Masih adakah lagi golongan yang bersikap jujur dan prihatin? Tinjauan rambang Mega di kaunter hilang dan jumpa di tiga buah pasar raya besar di ibu kota memberikan satu rumusan 'istimewa'.
Kebanyakan petugas di kaunter tersebut berkata: "Lebih banyak aduan barang hilang daripada mereka yang pulangkan barang yang dijumpai."
Ini bermakna tidak ramai masyarakat yang bersikap jujur.
Jawapan daripada petugas kaunter itu memberikan gambaran bahawa jika kita kehilangan barang atau tertinggal sesuatu, jangan harap akan menemui kembali. Mereka yang menemui barang tersebut tidak akan memulangkannya.
Tidak puas hati dengan jawapan kakitangan kaunter hilang dan jumpa itu penulis melakukan sendiri ujian untuk mengenalpasti tahap integriti dan kejujuran penduduk di ibu kota khususnya.

ARKIB : 31/03/2011-Mega Utusan Malaysia 31/3/2011.

Apakah kita semakin tamak?

BENARKAH ada di antara kita kini mula tidak ambil peduli apabila musibah menimpa orang lain? Adakah masyarakat kita yang penuh dengan sifat sopan-santun dan berbudi bahasa sudah bertukar menjadi tamak haloba?
Beberapa kejadian yang berlaku awal tahun ini telah memaparkan realiti sebenar sikap segelintir masyarakat kita.
Februari lepas, seluruh negara membaca luahan rasa kecewa seorang pemandu lori treler Ahmad Rozlin Ahmad Murad, dengan sikap orang ramai berebut memungut kampit berisi beras yang bertaburan di atas jalan raya selepas lori treler tersebut terlibat dalam kemalangan, tanpa mempedulikan mayat rakannya yang tersepit di kenderaan itu.
Sebulan sebelum itu, keluar juga berita dalam media mengenai kenderaan pacuan 4-roda yang membawa lebih RM70,000 (dalam bentuk syiling) terlibat kemalangan di KM 244 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Pedas.
Duit syiling itu bertaburan di atas jalan raya. Sesetengah mereka dari kenderaan yang lalu di situ seolah-olah 'berpesta' memungut wang yang bertaburan dan tidak menghiraukan rayuan pemandu kenderaan pacuan 4-roda itu agar tidak 'diambil' syiling tersebut.
Kejadian berkenaan menarik pelbagai reaksi sama ada daripada orang ramai mahupun golongan ulama serta cendikiawan.
Mufti Perak, Tan Sri Dr Harrussani Zakaria seperti yang dinyatakan dalam laporan sebuah akhbar menegaskan, duit tersebut haram diambil serta digunakan kerana ia mempunyai pemilik dan wajib dikembalikan semula.
Manakala Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut berpendapat orang ramai hendaklah membantu mangsa kemalangan tersebut dan memulangkan kembali wang syiling dan bukannya mengambil kesempatan daripada insiden itu.
Malah beliau menganggap perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku di sebuah negara Islam seperti Malaysia.
Wajarkah insiden-insiden yang mencerminkan 'tamak haloba' rakyat Malaysia berlaku sedangkan kita memang dididik dengan sikap Masyarakat Penyayang dan Berbudi Bahasa?
Apa sudah jadi dengan masyarakat kita hari ini? Tinggal sembilan tahun sahaja lagi untuk kita sampai ke tahun 2020 dan mencapai Wawasan 2020. Malah kita juga sedang berusaha menjayakan Gagasan 1Malaysia.
Sayangnya, adakah masyarakat sudah bersedia mendekati matlamat tersebut? Ahli Psikologi Sosial dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Dr. Intan Hashimah Mohd. Hashim berkata, beliau melihat hal ini dari dua aspek.
Pertama, faktor orang ramai tidak membantu seseorang yang telah mengalami kemalangan. Kedua, kenapa pula orang sanggup mencuri/mengambil barangan yang bertaburan kesan daripada kemalangan tersebut?
Menurut Dr. Intan Hashimah, sikap itu tidak semestinya ada kaitan dengan nilai sopan-santun dalam masyarakat tetapi lebih kepada apa yang dipanggil oleh ahli psikologi sosial sebagai kesan pemerhati atau dalam bahasa Inggerisnya by-stander effect.
Banyak kajian dalam psikologi sosial menunjukkan bahawa kecenderungan untuk orang sekeliling membantu seseorang dalam suasana kecemasan (seperti kemalangan jalan raya) akan berkurangan sekiranya terdapat ramai pihak lain yang sedang memerhatikan kejadian yang sama.
"Kemungkinan dengan adanya lebih ramai orang di sekeliling akan mendorong seseorang merasakan tanggungjawab untuk menolong tidak hanya kepada dirinya seorang.
"Malahan ramai yang merasakan orang lain lebih sesuai dan sepatutnya membantu seseorang dalam kecemasan dan bukan dirinya sendiri.
"Dengan itu mereka memilih untuk tidak membantu," kata pakar psikologi sosial itu.
Dr. Intan Hashimah berpendapat fenomena ini berlaku dalam banyak masyarakat termasuk di barat.
Sikap membantu dalam kecemasan akan lebih tinggi jika yang memerhatikan kejadian itu hanya seorang dua berbanding lebih ramai orang.
Mengenai aspek kedua, Dr. Intan Hashimah berpendapat ia masih lagi berkaitan dengan rasa tanggungjawab.
"Dalam situasi kedua, mereka yang mencuri daripada mangsa kemalangan biasanya lebih daripada seorang dan mereka tidak mengenali mangsa kemalangan.
"Tambahan pula ada ramai lagi yang turut mencuri/mengambil barangan yang bertaburan, ini mengurangkan rasa malu atau bersalah dalam diri orang yang mencuri.
"Mereka juga tidak takut tertangkap kerana tiada polis atau pihak autoriti di situ yang akan mengambil tindakan terhadap mereka," katanya. - BERNAMA