PADA zaman Nabi Musa a.s, ada seorang lelaki yang hanya mencuri untuk meneruskan kehidupan sehari-hari sejak 40 tahun lampau. Suatu hari, dia terlihat Musa berjalan dan terlintas di hatinya untuk berjalan bersama baginda.
“Mudah-mudahan, ada keberkatan untukku dengan berjalan bersama nabi,” katanya.
Bagaimanapun, selepas difikirkan semula, lelaki itu membatalkan niatnya kerana beranggapan dia tidak layak kerana banyaknya dosa yang dilakukan sebelum itu.
Tidak lama kemudian, dia terlihat pula seorang abid (ahli ibadah) berlari-lari anak mengejar Musa. Lelaki berkenaan tahu orang yang berlari itu sudah beribadah secara istiqamah selama 40 tahun dan memang dikenali kerana perwatakannya.
Pencuri itu memutuskan untuk mengikut ahli ibadah berkenaan, dengan masih mengharapkan ada kebaikan dan keberkatan untuknya. Dia menghampiri abid berkenaan dan meminta izin berjalan bersamanya.
Kedatangan pencuri itu jelas mengejutkan si abid dan ketakutan pun datang. Dia segera menghindari kerana mahu mengelakkan kesan buruk daripada amalan pencuri itu mencemarkan dirinya. Ia kemudian ditakuti akan merosakkan segala kebaikan abid berkenaan.
Si abid memperlajukan lariannya untuk mengelak beriringan dengan pencuri itu, tetapi si pencuri itu juga meningkatkan usahanya mengikuti ahli ibadah berkenaan. Keadaan itu berterusan sehingga kedua-dua mereka tiba kepada Musa.
Baginda berpaling lalu bersabda (bermaksud): “Aku baru saja mendapat wahyu daripada Allah supaya memberitahu kamu berdua bahawa segala amalan kamu dimansuhkan-Nya.” Kedua-dua lelaki itu terkejut.
Bagi si pencuri, ia amat menggembirakan kerana kesalahannya sebelum itu diampunkan, sebaliknya bagi si abid, ia amat menyedihkan. Segala kebaikan dan pahalanya selama 40 tahun ditolak Allah.
Ternyata rahmat dan kasih sayang Allah terlalu hebat.
Walaupun lelaki itu kerjanya mencuri, tetapi ia dilakukan dalam keadaan terpaksa. Hatinya tidak pernah rela dengan perbuatan itu, sebaliknya desakan hidup yang melarat dan tanggungan banyak memaksanya mencuri.
Setiap kali mencuri, dia akan berasa bersalah amat sangat dan penderitaan itu yang ditanggung selama 40 tahun sebelum itu.
Jiwanya juga tidak pernah putus daripada mengharapkan rahmat Allah.
Bagi si abid itu, sifat riaknya jelas memakan diri. Dia amat yakin amalannya sebelum itu dapat menyelamatkannya daripada kemurkaan Allah dan memperolehi syurgaNya.
Dalam jiwanya timbul rasa kekaguman dan kemuliaan diri. Selama 40 tahun juga dia mendidik jiwanya supaya semakin berasa baik dan tinggi kedudukan setiap kali melakukan ibadah sehinggakan menganggap bergaul dengan masyarakat boleh menjerumuskannya kepada kerosakan.
Dia berpendapat hanya layak bergaul dengan golongan tertentu termasuk nabi, sedangkan tugasnya adalah meneruskan syariat Allah dengan melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Untuk menyempurnakan amanah itu, si abid sepatutnya tidak mengehadkan pergaulan dengan golongan tertentu, malah wajar mendekati semua pihak, termasuk si pencuri itu, supaya kejahatannya dapat dihentikan.
Maha Suci Allah mengetahui segala isi hati manusia. Dia tidak melihat amalan lahiriah untuk menilai makhluk-Nya, sebaliknya menjadikan hati sebagai penilai.
Dia dengan sifat kudrat dan iradahNya, menguji manusia dengan pelbagai bentuk. Dan manusia perlu memilih untuk menentukan masa depannya, sama ada diredai Allah atau sebaliknya.
PERNAHKAH KITA BERSIFAT SEPERTI SI ABID INI???
No comments:
Post a Comment